Hadith-hadith berkaitan solat & Hari Jumaat

Hadith-hadith berkaitan solat & Hari Jumaat

1. Rasulullah bersabda tentang waktu mustajab pada hari Jumaat, "Waktu itu bermula daripada ketika imam duduk (untuk memulakan khutbah) sehingga selesai solah Jumaat." (Muslim)

2. Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu waktu apabila seseorang Islam berdoa kepada Allah bertepatan dengan waktu itu maka doanya pasti akan diterima oleh Allah SWT. Waktu itu ialah selepas solah 'asar’. (Musnad Ahmad: Fath ur-Rabbani).

3. Rasulullah SAW bersabda, "Matahari tidak terbit dan terbenam pada mana-mana hari yang lebih afdal daripada hari Jumaat. (Yakni hari Jumaat ialah hari yang paling afdal). Semua binatang yang melata takutkan hari Jumaat (takut-takut kiamat akan berlaku pada hari itu) kecuali jin dan manusia." (Ibnu Hibban).

4. Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya hari Jumaat ialah penghulu segala hari dan hari yang lebih mulia di sisi Allah SWT daripada hari raya korban dan hari raya puasa. Pada hari itu berlaku lima perkara 1, Allah menciptakan Nabi Adam pada hari Jumaat 2, Allah SWT turunkan Nabi Adam ke bumi pada hari Jumaat, 3. Allah SWT mewafatkan Nabi Adam pada hari Jumaat, 4. Pada hari Jumaat ada satu waktu yang Allah pasti menunaikan permintaan hamba-Nya apabila dia meminta sesuatu pada waktu itu selagi dia tidak meminta perkara yang haram. 5. Pada hari Jumaat juga akan berlaku kiamat. Semua malaikat yang hampir dengan Allah , langit, bumi, angin, bukit dan laut takut akan hari Jumaat (kerana kiamat berlaku pada hari Jumaat)." (Ibnu Majah).

5. Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang mandi dengan sempurna dan keluar awal pagi serta dia duduk hampir dengan imam dan dia mendengar khutbah dengan penuh tumpuan serta tidak bercakap apa-apa maka dia mendapat ganjaran bagi setiap langkahnya ke masjid pahala bertahajud dan berpuasa selama setahun." (Musnad Ahmad).

6. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang mandi dengan sempurna pada hari Jumaat, pergi ke masjid awal-awal lagi dengan berjalan kaki tidak menunggang kenderaan dan dia duduk hamper dengan imam dan dia mendengar khutbah dengan penuh perhatian serta tidak bercakap sia-sia maka bagi setiap langkahnya dia mendapat ganjaran amalan setahun berpuasa dan berdiri beribadat malam." (Abu Daud).

7. Hadrat Yazid bin Abu Maryamberkata bahawa Hadrat Abayah bin Rifa ah bin Rafi telah bertemu dengan saya semasa saya sedang berjalan untuk menunaikan solah Jumaat. Beliau berkata, "Bergembiralah, sesungguhnya langkah-langkah kamu ini di jalan Allah . Saya telah mendengar Sayyidina Abu 'Abs berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang kedua-dua kakinya terkena debu di jalan Allah maka kedua-dua kaki itu diharamkan daripada api neraka." (Tirmižżi).

8. Nabi SAW bersabda, Apabila hari Jumaat para malaikat berdiri di pintu-pintu masjid mencatat orang yang datang awal ke masjid dan seterusnya. Orang yang datang awal mendapat pahala seumpama orang yang menyedekahkan seekor unta, kemudian (orang yang datang selepas itu) mendapat pahala seumpama orang yang menyedekahkan seekor lembu, kemudian (orang yang datang selepas itu) mendapat pahala seumpama orang yang menyedekahkan seekor kibas dan (orang yang datang selepas itu) mendapat pahala seumpama orang yang menyedekahkan seekor ayam dan (orang yang datang selepas itu) mendapat pahala seumpama orang yang menyedekahkan sebiji telur. Apabila imam telah datang (untuk memberi khutbah) maka para malaikat itu melipat catatan-catatan mereka dan mendengar khutbah." (Bukhari).

9. Nabi SAW bersabda, Sesungguhnya mandi pada hari Jumaat akan menghapuskan dosa-dosa hingga ke pangkal rambut. (Tabarani : Majma’ uz-Zawa’id).

10. Rasulullah telah bersabda, "Wahai kaum muslimin, sesungguhnya ini ialah hari yang Allah telah jadikan sebagai hari raya untuk kamu maka hendaklah kamu mandi dan ambil beratlah untuk bersugi" (Tabarani: Majma uz-Zawa'id).

11. Nabi SAW bersabda Seseorang yang mandi pada hari Jumaat dan dia bersuci sedaya mungkin serta dia menggunakan minyak (di kepala dan janggutnya) atau dia memakai wangi-wangian yang ada di rumahnya kemudian dia keluar ke masjid dan dia tidak memisahkan antara dua orang yang telah duduk rapat sejak awal serta dia bersolat sunat sebanyak rakaat yang dia mampu, kemudian apabila imam mula berkhutbah maka dia diam (dan mendengar khutbah dengan penuh perhatian) maka pasti diampunkan baginya dosa semenjak Jumaat yang lalu.” (Bukhari).

12. Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menyempurnakan wuduknya dengan baik kemudian dia pergi menunaikan solah Jumaat dan dia mendengar khutbah dengan penuh tumpuan dan diam semasa mendengar khutbah maka diampunkan untuknya semenjak Jumaat yang sebelumnya dan ditambah tiga hari. Sementara sesiapa yang menyentuh (bermain-main akan) anak-anak batu (atau bermain-main dengan jari-jarinya atau tikar, kain dan sebagainya semasa khutbah) maka dia telah melakukan perbuatan sia-sia (dan kerana itu dia tidak mendapat pahala solah Jumaat yang khusus itu)" (Muslim).

Comments

Popular posts from this blog